Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar bercakap pada sidang media berhubung isu Penjualan Boustead Plantations Berhad anak Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada pihak swasta di Wisma Pahlawan,Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 19 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya melaksanakan penyelarasan pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih rendah berbanding pesara perkhidmatan awam lain.

Ini kerana, perkara berkenaan yang telah menjadi isu, bagai tidak berkesudahan selagi ia tidak dilaksanakan, katanya Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Datuk Sharuddin Omar.

Beliau berkata, lebih memberi tekanan apabila Pemberian Khas Kepada Pesara (PKKP) sebanyak 20 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan akan berakhir pada Disember tahun ini.

Katanya, sekiranya pelarasan pencen tidak dilaksanakan dan pemberian skim berkenaan pula tidak diteruskan pada tahun hadapan ia boleh memberi impak besar kepada pesara-pesara terbabit.

“Anggota tentera menerima pencen 10 peratus lebih rendah berbanding pesara perkhidmatan awam lain disebabkan tempoh perkhidmatan kurang 25 tahun tiga bulan.

“Ini kerana memang tempoh perkhidmatan tentera ditetapkan selama 21 tahun.

“Veteran ATM sudah lama menderita dengan kadar pencen yang rendah itu, tambah pula dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat ketika ini menambah lagi beban serta penderitaan veteran,” katanya pada sidang media di Wisma Pahlawan, di sini, hari ini.

Sharuddin berkata, sekiranya skim PKKP tidak diteruskan ia akan memberi tekanan kepada pesara ATM kerana pendapatan mereka akan berkurangan.

Dalam pada itu, Sharuddin menggesa kerajaan melaksanakan pelarasan pencen kepada veteran ATM khusus yang bersara sebelum 2013 menerusi Belanjawan 2024.

Katanya, perkara itu telah diperjuangkan PVATM sejak 10 tahun lalu malah, Perdana Menteri juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk membuat semakan gaji penjawat awam serta penyelarsan pencen pada tahun ini.

“Tidak semua pesara tentera menuntut pelarasan pencen itu. Jumlah Veteran yang terbabit dalam pelarasan hanya seramai 78,546 orang (59.13 peratus) daripada jumlah keseluruhan 134,682 pesara ATM.

“Jika kita berasaskan kepada jumlah pencen bulanan yang diterima, seramai 73,339 orang atau 93.4 peratus veteran berada dalam kategori B40. Situasi ini akan berterusan jika langkah penambahbaikan tidak diambil,” ujarnya. – MalaysiaGazette