Istana Kehakiman

PUTRAJAYA – Seorang pemuda yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 13 tahun lepas hanya memperoleh ganti rugi sebanyak RM123,556 berbanding RM3.1 juta selepas menang dalam kes samannya terhadap Kerajaan Malaysia dan empat pihak lain.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ravintharan Paramaguru membuat keputusan itu sebulat suara selepas mendapati jumlah ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah terlalu tinggi.

“Ganti rugi am RM2 juta diperoleh responden (pemuda) terlalu tinggi dan tidak disokong oleh sebarang dokumentasi. Oleh itu, ganti rugi am RM2 juta dikurangkan kepada RM100,000 manakala ganti rugi khas dikurangkan daripada RM108,356 kepada RM23,556.

“Mahkamah juga mengetepikan ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM1 juta yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kerana kedua-dua ganti rugi itu tidak dinyatakan dalam pliding (tuntutan saman) dan tiada asas untuk membenarkan kedua-dua ganti rugi tersebut namun kos RM100,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Ravintharan yang bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Mohamed Zaini Mazlan pada prosiding secara dalam talian hari ini.

Selain kerajaan, empat lagi ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor.

Dalam penghakimannya, Ravintharan berkata mahkamah tidak akan mengganggu dapatan hakim bicara yang mendapati kelima-lima defendan, yang merupakan perayu dalam kes ini, bertanggungjawab atas kelewatan rawatan terhadap pemuda itu di dua hospital.

Pada prosiding hari ini, kelima-lima perayu diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan Peguam Persekutuan Saravanan Kuppusamy manakala pemuda itu diwakili peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar.

Kelima-lima defendan merayu terhadap keputusan Hakim Datuk Akhtar Tahir pada 7 April 2022 yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada pemuda berusia 22 tahun itu.

Akhtar, dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada 27 Mei 2022, berkata kelewatan kakitangan perubatan merawat kecederaan plaintif telah melenyapkan harapan untuk menyelamatkan alat sulitnya.

Plaintif, yang memfailkan saman pada 19 Julai 2018 melalui ibunya, mendakwa proses bersunat pada 13 Dis 2010 ke atas beliau tidak dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sehingga menyebabkan seluruh kepala zakar terpotong.

Akibat kecacatan kekal itu, ibu mangsa mendakwa anaknya yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast