Seorang lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, awal bulan ini.

KUALA KANGSAR – Seorang lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, awal bulan ini.

Mohammad Mokul Hossain, 34, bagaimanapun tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu dan tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Hossen Md Monowar di Jalan Kuak, Pekan Kuak, Lenggong antara 7 hingga 8 malam, 8 Sept lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya dikenakan hukuman penjara hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menetapkan 20 Okt ini untuk sebutan bagi melantik jurubahasa di Mahkamah Majistret Lenggong.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan rentung dipercayai dibunuh di kawasan kebun pisang di Kampung Pengkalan Ikan dekat Kuak, Lenggong pada 8 Sept.

Keadaan mangsa warga Bangladesh itu disedari orang awam sebelum melaporkan kepada polis pada 11.35 malam hari kejadian. – BERNAMA