Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM – Polis akan memanggil selebriti, Caprice dan wanita Indonesia dikenali sebagai Mondy Tattoo bagi memberi keterangan berhubung dakwaan fitnah terhadap pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, pihaknya telah mengambil keterangan pendakwah bebas tersebut semalam ketika membuat aduan.

“Kami sudah  dapatkan OTI (order to investigates) untuk jalankan siasatan seterusnya.

“Ya mesti sebab apa-apa saksi berkaitan kes kita perlu rakam percakapan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan melengkapkan siasatan sebelum mengemukakan laporan terhadap Timbalan Pendakwa Raya.

Pada 11 September lalu dilaporkan, Mondy yang merupakan ibu tunggal daripada Indonesia mendakwa Ebit Lew melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Wanita itu berkata demikian menerusi podcast khas yang dikendalikan Caprice pada 11 September lalu.

Wanita berkenaan merupakan individu yang pernah dibawa oleh Ebit ke Malaysia pada Jun yang lalu.

Susulan itu, Ebit telah membuat laporan polis di Daerah Subang Jaya semalam kerana menganggap ia merupakan fitnah jahat terhadapnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette