Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM memberitahu Dewan Rakyat lebih 130,000 rawatan kesihatan telah diberikan sejak Skim Perubatan Madani diperkenalkan.

Menurut menterinya, Dr Zaliha Mustafa, skim ini dilihat berjaya mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti kesihatan kerajaan.

“Sejumlah 80,000 isi rumah telah mendapat manfaat skim ini. Bilangan rawatan yang diberikan hampir mencecah 4,000 sehari dan semakin meningkat.

“Kini, lebih 1,300 klinik swasta telah mendaftar dan bekerjasama dalam program ini sebagai panel dalam memberikan perkhidmatan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

SPM sebelum ini bertujuan membantu rakyat, khususnya kumpulan B40, bagi mendapatkan rawatan pesakit luar bagi kes-kesi akut di klinik perubatan swasta (GP) secara percuma.

Zaliha berkata, disebabkan oleh sambutan yang amat menggalakkan, Skim Perubatan Madani ini akan diperluaskan ke seluruh Malaysia bermula 15 September 2023.

“KKM dengan ini mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani.

“Saya juga berharap Yang Berhormat sekalian dapat membantu mempromosi Skim Perubatan Madani di kawasan masing-masing, untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan ini,” katanya lagi.

Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon setiap rakyat menyebarkan maklumat mengenai Skim Perubatan Madani kepada keluarga dan rakan-rakan yang memerlukan.

Malah Anwar berharap skim berkenaan dapat memanfaatkan golongan sasar terutamanya kumpulan B40.

Skim Perubatan Madani diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2023 sebagai antara inisiatif kerajaan bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di hospital kerajaan selain membantu golongan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di klinik pengamal perubatan swasta umum (GP) berhampiran.

Peruntukan bagi setiap isi rumah menerusi skim itu adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang yang dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Malah Zaliha sebelum ini turut berkata SPM telah diperluas ke 11 daerah lain membabitkan Kota Setar dan Kuala Muda di Kedah, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Terengganu yang akan dilaksanakan bermula minggu kedua bulan Ogos diikuti Kota Bharu dan Pasir Mas di Kelantan; Kuantan, Pahang; Melaka Tengah, Melaka; Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang; Seremban, Negeri Sembilan dan Perlis pada minggu keempat.

Daerah lain yang terlibat dalam projek rintis ini adalah Kuala Lumpur, Klang, Petaling Jaya, Hulu Langat dan Gombak di Selangor; Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu di Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast