Allaudeen Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur berjaya menurunkan indeks jenayah bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu sebanyak 344 kes atau 10.3 peratus berbanding tempoh sama tahun pada tahun lalu iaitu sebanyak 3,349 kes.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pada masa yang sama, sebanyak 2,072 kes atau 68.95 peratus kes yang disiasat telah berjaya diselesaikan pada tahun ini berbanding 2,488 kes atau 74.29 peratus bagi tahun lalu.

“Manakala jenayah kekerasan di ibu negara secara keseluruhannya turut mencatatakan penurunan sebanyak 115 kes atau 15.6 peratus pada tahun ini berbanding 738 kes bagi tahun sebelumnya.

“Begitu juga dengan jenayah harta benda yang turut mencatatkan penurunan sebanyak 229 kes (8.8 paratus) pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam ucapan perhimpunan bulanan Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah Allaudeen, Jabatan Narkotik pula telah berjaya melakukan rampasan dadah bernilai RM53.3 juta sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu berbanding jumlah rampasan yang dilakukan pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM83 juta.

Katanya, bagi statistik perbandingan tangkapan individu bagi pelbagai jenis jenayah untuk Januari hingga Ogos lalu menunjukkan peningkatan seramai 350 orang menjadi 9,765 orang berbanding 9,415 orang bagi tahun 2022.

“Sementara itu, jenayah komersil memperlihat peningkatan kejayaan tangkapan pusat penggilan bagi januari hingga Ogos lalu berjumlah 64 kes berbanding 57 kes pada 2022 dengan kadar pertuduhan semasa sebanyak 58 peratus.

“Saya dalam perkara ini ingin menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran lumayan tidak masuk akal oleh sesiapa.

“Pelbagai taktik penipuan dilaporkan di media massa melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit membabitkan mangsa daripada pelbagai latar belakang maka orang ramai perlu berhati-hati setiap masa,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast