Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia berdepan dengan pelbagai tuntutan masyarakat terhadap standard perkhidmatan berkualiti daripada pegawai dan anggota keselamatan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, apa yang membimbangkan pihaknya sekarang adalah isu integriti dan disiplin warga PDRM yang terlibat dalam aktiviti jenayah, penyalahgunaan dadah, salahlaku rasuah dan sebagainya.

“Dalam soal berkaitan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kuala Lumpur dalam perkara berkaitan telah membuka sebanyak 157 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Bagi tempoh sama pada tahun lalu, sebanyak 164 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota,” katanya dalam ucapan perhimpunan bulanannya di sini hari ini.

Tambah Allaudeen, polis KL telah mengambil tindakan membuang kerja ke atas 18 orang pegawai dan anggota manakala enam orang lagi telah diturunkan pangkat mereka bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Katanya, kegagalan dalam melaksanakan penyeliaan adalah penyebab kepada apa-apa jua bentuk salah laku ini berlaku.

“Saya berharap dengan pendekatan melalui kawalan dan pengawasan tatatertib sepertimana yang telah digunakan di bawah Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) sekiranya diperkasakan secara menyeluruh mampu membantu menangani isu ini.

“Justeru saya juga menuntut semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan penyelia hendaklah bertanggungjawab ke atas penyeliaan dan menjalankan pemantauan tanpa sebarang cover-up, kronisme dan pilih kasih selain memulakan pendekatan lebih agresif dalam memperkasakan peraturan yang digariskan ke arah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Saya juga berharap warga polis Kuala Lumpur menjadikan integriti sebagai tunjang penting dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat selain menjadikannya indikator utama mengukur sejauh mana PDRM telus dan tulus dalam aspek tatakelola,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast