KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menegur peniaga dan juga pelanggan yang begitu taksub dengan sesuatu yang tular di media sosial lebih-lebih lagi mengenai makanan.
Memetik video potongan ceramahnya yang dikongsikan semula TikTok insan_marhaen, Ustaz Azhar Idrus terkilan kerana ada yang sanggup beratur sehari sebelum kedai dibuka demi mendapatkan makanan itu.
“Beratur dari 12 malam, pukul 9 pagi esok baru kedai buka. Patutnya esok la pergi beratur. Ini cerdik ke bodoh? Bukannya kita kelaparan enam tahun tiada makanan.
“Itu penyakit akhir zaman, kasih kepada viral, kasih kepada kemegahan dan rasa hebat,” ujarnya.
Pendakwah asal Terengganu itu juga menyentuh isu peniaga-peniaga di aplikasi TikTok yang memandang ringan berkaitan keberkatan dalam perniagaan dan sanggup melanggar perintah agama demi keuntungan sendiri.
“Promosi makanan dalam TikTok sekarang, sebahagiannya bagus. Kenapa? Dia jaga pantang larang dalam Islam. Tapi sebahagian promosi dalam TikTok, haram. Bila haram, perniagaan tiada berkat.
“Tapi masalah kita sekarang, kita tak perlukan keberkatan dah. Kita nak kejar laku, laris, view tiggi, rating tinggi, orang banyak datang beli dan pembeli pun rasa hebat dapat beli benda viral,” katanya.
Azhar turut menyelar para peniaga yang memandang ringan berkaitan aurat dan sanggup berpakaian memperlihatkan bentuk badan.
“Nak suruh laku mi goreng, kenapa tunjuk punggung pula? Tu macam tak pakai baju. Pakai baju tapi telanjang. Pakai seluar tapi nampak bentuk dua punggungnya.
“Laku, viral tak viral, FYP tak peduli. Langgar pantang larang, go to hell,” tegasnya. – MalaysiaGazette