Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra, Datuk R. Ramanan bercakap pada sidang media mengenai Pengumuman Program Inisiatif Mitra tahun 2023 di Blok D5, Kompleks D, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Detik bersejarah buat Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) tahun ini apabila buat kali pertama, ia berjaya memanfaatkan sepenuhnya dana RM100 juta untuk komuniti ketiga terbesar di negara ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, Datuk R. Ramanan, melalui dana yang diperuntukkan itu lebih daripada 100,000 masyarakat India telah mendapat faedah setakat ini.

Jelas Ahli Parlimen Sungai Buloh itu, semua dana terbabit digunakan meliputi pelbagai program yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan.

“Berdasarkan perancangan program yang diumumkan sebelum ini, saya ingin memaklumkan RM100 juta dana MITRA sudah dimanfaatkan sepenuhnya bagi tahun 2023,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, Ramanan teruja untuk membuat pengumuman itu kerana sebelum ini, hanya 63 peratus peruntukan itu digunakan berbanding 73 peratus pada 2021 dan 63 peratus pada 2020.

Difahamkan, pengagihan dana MITRA termasuklah program seperti subsidi bantuan pengajian ijazah sarjana muda, subsidi pendidikan awal tadika swasta, subsidi dialisis dan program pembangunan sosioekonomi bersasar dengan kerjasama 72 pusat khidmat wakil rakyat.

“Kita juga sedang dalam proses menyediakan dokumen penyaluran dana bagi beberapa inisiatif lain yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Ada berita baik yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri kelak. MITRA akan melaksanakan Program Pembasmian Miskin Tegar Untuk Ahli Isi Rumah (AIR) Berbangsa India secara berfasa yang akan diumumkan namun perincian kita akan dengan pengumuman PM.

“Apa yang saya boleh cakap, ketika ini MITRA sedang giat bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri untuk program ini dan bagi fasa pertama, kita tumpu miskin tegar di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tidak seperti tahun sebelum ini, MITRA juga akan melaksanakan Program Pemerkasaan Literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik untuk murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta  Program Bantuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk golongan penjaja kecil.

Dengan usaha berterusan dan komitmen Perdana Menteri dalam membasmi kemiskinan dalam masyarakat India, Ramanan berharap akan dapat mempertimbang untuk menambah jumlah peruntukan kepada MITRA dalam Belanjawan 2024. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast