Foto: JBPM Putrajaya

PUTRAJAYA – Identiti dua penunggang motosikal yang maut, dalam kemalangan melibatkan sebuah treler merempuh beberapa kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, di sini, hari ini telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP, A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, yang merupakan pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, iaitu pekerja di Mahkamah Ampang.

Beliau berkata, pengecaman Faris Haziq telah dibuat oleh ayahnya, manakala Yuswar oleh isterinya di Unit Forensik Hospital Putrajaya, masing-masing pada kira-kira 5.30 petang.

“Post mortem kedua-dua mangsa akan akan dibuat esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu, A. Asmadi berkata kesemuanya terdapat 14 individu terlibat termasuk dua yang maut, berbanding lapan yang dilaporkan sebelum ini.

Dua pemandu kereta dikenali Karli Rastio, 69, serta Abdul Latif Ahmad, 58, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan masing-masing dirawat di zon merah Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

Pemandu treler berkenaan mengalami luka ringan di tangan, manakala baki yang terlibat, ada yang mengalami patah tangan dan ada juga yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

A.Asmadi berkata, jumlah keseluruhan kenderaan terlibat dalam kemalangan itu ialah 14 buah, iaitu sebuah treler dan sebuah lori, tujuh kereta serta lima motosikal, termasuk sebuah motosikal polis trafik.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap pemandu treler didapati negatif dan pemandu itu akan direman esok, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd Azuan Mohd Zain berkata beliau, tidak menyangka insiden kemalangan di Putrajaya yang tular di media sosial, melibatkan salah seorang ahli keluarganya.

Beliau berkata, dia mendapat perkhabaran mengenai kematian Yuswar, yang merupakan birasnya, daripada isterinya.

“Arwah ini sentiasa ringan tulang, suka membantu menyelesaikan apa jua masalah yang berlaku dalam keluarga,” kata Mohd Azuan, 37, ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, Yuswar dipercayai sedang dalam perjalanan ke Istana Kehakiman Putrajaya atas urusan rasmi. – Bernama