KUALA LUMPUR – Polis memburu seorang lelaki dikenali Mohamad Hizami Ahmad yang melarikan diri selepas melanggar Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Danau Saujana, Setapak, di sini, pada 12 September lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian jam 11.16 malam itu, anggota polis dari Balai Polis Setapak yang terlibat dalam rondaan terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika anggota polis mendekati dan hendak membuat pemeriksaan ke atas kereta dipandu suspek itu, tiba-tiba kereta tersebut telah berundur dan melanggar sebuah kereta yang diletakkan di hadapannya.
“Kemudian kereta tersebut mengundur lagi ke belakang sebelum terlanggar pintu kenderaan pasukan polis peronda MPV sebelum melarikan diri dari tempat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashari, berikutan itu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ke atas suspek itu.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang suspek yang berusia 25 tahun itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Azzuan Sharom di talian 016-2014334 /03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
Kenapa makin ramai rakyat Malaysia tidak menghormati pasukan polis, malah menganggap sebagai penguatkuasa yg tidak berkredibel sehingga sanggup melanggar walaupun kereta peronda polis. Adakah mereka menganggap sama dengan PENGAWAL KESELAMATAN, sebab sama sama menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur ????