Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Cadangan bekas penasihat ekonomi perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid agar kerajaan membatalkan pencen ahli-ahli politik disambut baik Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ahli politik amat mudah untuk mendapatkan pencen dengan hanya menjadi ahli politik untuk satu penggal sudah layak mendapat pencen seumur hidup.

“100 peratus setuju dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik. Termasuk saya.

“Sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian merujuk kepada kenyataan Muhammed Abdul Khalid bahawa semua menteri dah ahli parlimen patut ‘diajar’ untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka.

Untuk itu, dia mencadangkan Menteri dan Ahli Parlimen dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain.

Jelas beliau, kerajaan melakukan “kesilapan terbesar sejak negara ini merdeka” apabila membenarkan wang caruman dalam KWSP dikeluarkan beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar selama dua penggal berkata, ahli politik sudah tidak berkhidmat mendapat laba politik yang tinggi apabila meninggalkan bidang itu malah ia bergantung kepada berapa jawatan dan penggal seseorang ahli politik itu berkhidmat.

“Pencen yang bertingkat-tingkat pula. Menteri, MP (Ahli Parlimen), ADUN macam-macam jawatan.

“Wajar cadangan letak di bawah EPF (KWSP), sama seperti rakyat biasa,” katanya lagi.

Bulan lalu, Syed Saddiq menasihatkan kerajaan untuk menghapuskan sistem pencen bagi seluruh ahli politik dan mengembalikan sistem caruman.

Beliau berkata, kaedah itu dilihat tidak adil jika dibandingkan dengan penjawat awam yang telah berkhidmat dalam tempoh lebih lama berbanding ahli politik.

Sebelum ini timbul dakwaan bahawa kerajaan membelanjakan RM2 bilion setahun untuk membayar pencen bekas Ahli Parlimen dan bekas anggota Kabinet termasuk Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ramai setuju tiada pencen untuk ahli politik. Tarik semuanya sekali termasuk yang sudah tidak aktif politik lagi. Mereka umpama sama seperti pekerja swasta sahaja.

  2. Pakai otak lah. Penjawat awam kerja 8 jam sehati. Tolak minum pagi. Makan tgh hari dan minum petang adalah 5 jam sehari. Tu belum lagi tolak sembang kari dalam ofis. Ahli politik kerja 24 jam tak tentu masa makan dan tidor. Yang tak buat kerja Syed Saddiq. Drama aje lebih. Jadi guna otaklah.

Comments are closed.