SHAH ALAM – Kerajaan akan meneruskan catuan beras putih tempatan yang dikenakan kepada peniaga dan pemilik restoran yang sudah bermula sejak awal September ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bagi memastikan bekalan beras putih tempatan itu mencukupi untuk kegunaan orang ramai.
Sebagai permulaan, pihaknya mengehadkan pembelian beras putih tempatan itu kepada 10 kampit sahaja di sesebuah pasar raya.
“Sekarang ini catulah, kalau pembelian di pusat beli-belah besar, dia boleh beli tak lebih dari 10 kampit (khususnya) para peniaga. Catuan ini bermula sejak awal bulan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Mohamad melakukan lawatan kerja bagi Pelan Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan di Agro Bazaar Rakyat Jalan Kebun di sini petang ini.
Sebelum ini, Mohamad memberitahu sidang Dewan Rakyat kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran terjadi kerana berlaku pembelian panik oleh pengguna dan peniaga.
Jelas beliau, apabila berlaku kenaikan harga beras import, pengguna akan beralih kepada pembelian beras putih tempatan hingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.
Mohamad berkata, dalam memastikan peniaga dan pemilik restoran tidak beralih kepada beras putih tempatan, pihaknya sedia berbincang dengan pengilang dan pemborong untuk menawarkan harga pukal bagi beras import.
“Jika mereka beli beras import dengan harga borong, supaya mereka kurang beli beras tempatan. Sebab beras tempatan ini kalau keadaan biasa seperti sekarang ia mencukupi.
“Melainkan restoran-restoran besar mengubah untuk membeli beras tempatan secara besar maka kekurangan bekalan akan berlaku di pasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette