Datuk Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis Johor akan memperhebatkan penggunaan saluran media sosial seperti TikTok, X dan Instagram bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, maklumat itu termasuklah isu sindiket penyeludupan.

“Menerusi aplikasi media sosial ini, orang ramai lebih mudah menyalurkan maklumat seperti bekalan barang asas tiada, sindiket menyorok minyak masak atau kes-kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan campur tangan sekiranya isu isu ketiadaan  bekalan barang asas menjadi punca sehingga mencetuskan keresahan masyarakat.

Bagaimanapun setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan berhubung penyeludupan minyak masak oleh sindiket di Johor Bahru.

“Walaupun ia bukan tugas hakiki polis tetapi memandangkan ia menjejaskan ketenteraman masyarakat, polis akan ambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam sindiket menyorok beras tempatan atau minyak masak,” katanya. – MalaysiaGazette