Pemuda yang identitinya belum dapat didedahkan tiba ke pangkuan keluarga setelah terperangkap dengan sindiket pemerdagangan manusia Myanmar selama beberapa bulan.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar diselamatkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Mangsa yang tiba di Malaysia malam tadi mendakwa dia dicucuh api rokok dan dipukul oleh ahli sindiket itu di Myawaddy, Myanmar jika enggan bekerja sebagai scammer.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada keluarga mangsa sebelum menghantar wakil pertubuhan itu, Azirul Shafiq ke Thailand untuk misi menyelamat mangsa.

“Kita tengok mangsa lebam sana sini, belakang badan kerana hentakan kayu selain kesan cucuh api. Mangsa yang tidak tahan diperlakukan sebegitu rupa akhirnya berjaya melarikan diri dari kawasan itu sebelum menghubungi keluarga dan akhirnya sampai kepada pengetahuan MHO

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pihak polis, Imigresen Thailand, ATIPSOM dan juga kedutaan Malaysia di Thailand selain wakil-wakil lain yang berjaya bantu bawa mangsa kembali ke tanah air,” katanya, hari ini.

Menurut Hishamuddin, Myanmar perlu mengambil tindakan tegas dan tidak memberi muka kepada sindiket-sindiket itu daripada  terus memperdayakan rakyat negara jiran seperti Malaysia.

Tambah beliau, masyarakat tidak boleh salahkan mangsa kerana rata-rata mereka diperangkap dengan tawaran kerja demi sesuap nasi untuk membantu keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast