ACP Mohd Zaid Hassan

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal peribadi ditahan polis semalam kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis.

Lelaki berusia 46 tahun itu juga didakwa mengacu pistol dan memaki hamun seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di kawasan Bandar Sungai Long, Kajang pada malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten, Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati pengawal keselamatan yang memintanya menunjukkan kad pengenalan berulang kali untuk dicatatkan dalam buku pelawat sebelum membenarkannya memasuki kawasan perumahan tersebut.

“Suspek juga berasa tidak puas hati apabila diminta memberikan lesen memandu berulang kali oleh pengawal keselamatan itu sebelum bertindak memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan sambil menambah polis menerima laporan mengenai insiden itu, semalam.

Menurut Mohd Zaid, pengadu yang tidak percaya dengan pengakuan lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang anggota polis menyebabkan suspek berang.

Tambah beliau, suspek telah membuka pintu kereta dan menunjukkan sepucuk pistol yang terselit di pinggang dan menyatakan dia adalah polis lalu memarahi pengawal keselamatan itu dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan.

“Tindakan suspek menyebabkan pengadu berasa takut dan telah membenarkan suspek untuk masuk ke dalam kawasan perumahan Bandar Sungai Long itu.

“Bertindak atas aduan mangsa itu, sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 IPD Kajang telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang suspek lelaki berumur 26 tahun yang disyaki terlibat dalam jenayah ugutan itu,” ujarnya.

Mohd. Zaid berkata, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan sepucuk pistol bersama 10 butir peluru hidup.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek bukan seorang anggota polis seperti yang didakwa, sebaliknya bekerja sebagai pengawak peribadi dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan.

Tambah beliau, suspek memiliki surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata api dan peluru yang dikeluarkan untuk tujuan penugasan dengan syarikat kawalan keselamatannya.

Menurut Mohd. Zaid, Mahkamah Majistret Kajang telah membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506/170 Kanun Keseksaan / 8(a) Akta Senjata 1960 / 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana melakukan ugutan sehingga menyebabkan ketakutan dan menyamar sebagai anggota polis yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua duanya jika sabit kesalahan

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast