KUALA LUMPUR – Pelakon dan ahli perniagaan, Rozita Che Wan kecewa apabila akaun Instagram (IG) @rozitachewan1 digantung atas alasan kononnya melakukan aktiviti agresif selain tidak mengikuti garis panduan komuniti ditetapkan sejak 15 September lalu.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menerima e mel daripada pihak IG untuk mengambil tindakan segera termasuk melakukan rayuan jika tidak mahu kehilangan akaun berkenaan.
“Sejak akaun digantung, saya sudah melakukan banyak kali rayuan namun belum berhasil,” katanya.
Kata Rozita atau dikenali Che Ta, beliau diberi tempoh masa hingga 13 Mac 2024 untuk melakukan rayuan.
Jelasnya, keadaan berkenaan menyukarkannya untuk mempromosikan produknya.
“Selama ini dengan IG jugalah saya menjana pendapatan dan beroleh rezeki menjual produk keluaran sendiri, by RCW.
“Saya juga melakukan ulasan promosi produk di platform sama tapi sudah jadi begini, siapa yang tak sedih. Kini buat sementera waktu, saya guna platform media sosial lain seperti TikTok,” katanya.
Beliau juga berharap ada pihak yang dapat membantunya mendapatkan semula akaun IG miliknya dalam masa terdekat.
“Kalau ada pihak yang boleh membantu saya mendapatkan semula akaun IG itu, saya amat hargai. Mungkin mereka boleh hubungi kawan saya atau menghantar mesej langsung ke akaun IG anak, suami atau teman rapat saya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette