Haslihelmy DM Zulhasli

KUALA LUMPUR – Selang dua minggu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor, esok menyaksikan hari penamaan calon bagi merebut kerusi DUN Pelangai, Bentong, Pahang.

Kekosongan kerusi itu disebabkan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 19 Ogos lalu.

Setakat ini, dua parti dan satu wakil NGO telah mengumumkan bertanding untuk merebut kerusi DUN berkenaan iaitu Barisan Nasional (BN), Pas dan Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli.

BN yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam manakala Pas mewakili Perikatan Nasional (PN) meletakkan Naib Yang Dipertua Kawasan Bentong, Kasim Samat, 63.

Amizar dan Kasim akan berentap pada 7 Oktober ini.

Difahamkan, nama Haslihelmy turut tersenarai selepas beliau membeli borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri pada 29 Ogos lalu sekali gus orang terawal menyatakan hasrat bertanding.

Namun tumpuan diberikan kepada Amizar anak jati Felda Chemomoi dan Kasim yang kalah dalam pertandingan kerusi DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) November tahun lalu.

Esok, bermula  9 pagi proses penamaan calon dijadualkan berlangsung di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul dan nama yang layak bertanding dijangka akan diumumkan Pegawai Pengurus SPR kira-kira 10 pagi.

SPR Pahang mengesahkan sebanyak tujuh borang pencalonan dijual setakat 18 September lalu, iaitu masing-masing tiga set dibeli wakil UMNO dan PN serta sebuah pertubuhan NGO.

Selain Kasim, calon BN juga mempunyai pengalaman bertanding di PRU15 iaitu kerusi DUN Ketari tetapi Amizar tewas kepada calon PH, Thomas Su Keong Siong.

Ketika itu, pertandingan menyaksikan tiga penjuru antara BN, PN dan PH sebelum penggabungan berlaku selepas PRU15, serentak dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 24 November lalu.

Dua calon BN dan PN masing-masing mempunyai pengalaman bertanding, berbanding Haslihelmy yang pertama kali masuk gelanggang pilihan raya namun beliau adalah aktivis tidak asing di Pahang dalam membangkitkan suara rakyat.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, yang mana dalam PRU15 lalu, BN mendapat 17 kerusi, PN (17) dan PH (lapan).

Namun selepas bergabung, BN-PH mempunyai 25 kerusi, manakala PN kekal 17 kerusi.

Pada PRU15, Allahyarham Johari memenangi kerusi Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang memperoleh 3,260 undi dan calon PH, Isa Ahmad (2,031 undi).

Tarikh mengundi ditetapkan pada 7 Oktober ini dengan seramai 16,456 pengundi layak mengundi termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tips memilih untuk umat Islam Pelangai. Bila dahulu Pas berkawan dengan Dap pilihlah Umno, bila pula Umno berkawan dengan parti anti perlembagaan/anti Islam tersebut pilihlah Pas/PN.

    Pengacau daun biasanya akan kelaut?

    Mudah je, insyaAllah selamat dunia akhirat, peace!

Comments are closed.