KAPIT – Jambatan Sungai Musah di Jalan Tekait-Musah yang terletak kira-kira 21 kilometer dari pekan Song, ditutup kepada orang ramai selepas mengalami kerosakan teruk dipercayai akibat tanah mendap.
Kerosakan jambatan sepanjang 166 meter dan selebar 11.2 meter itu dikesan kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
“Jalan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan dan ditutup kepada semua pengguna jalan. Kerja-kerja pemasangan papan tanda amaran telah dilakukan,” kata Ahli Dewan Undangan Katibas Lidam Assan hari ini setelah melawat tempat kejadian pada malam tadi.
Lidam berkata, mereka yang terkesan adalah penduduk, warga kerja sekolah-sekolah rendah dan klinik-klinik di hulu Sungai Katibas yang meletak kenderaan mereka di Banjor.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya negeri akan memeriksa jambatan tersebut bagi menentukan punca sebenar kerosakan untuk tindakan seterusnya. – Bernama