KUALA LUMPUR – Kepimpinan tegas Datuk R Ramanan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memberikan satu keyakinan baharu membersihkan imej jawatankuasa berkenaan.
Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, A. Kumaresan menyifatkan dalam tempoh lima bulan sahaja sejak memimpin MITRA – Ramanan berjaya membuat pelbagai penambahbaikan drastik mengembalikan semula keyakinan masyarakat India terhadap MITRA.
Kumaresan yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Uban berkata, pendekatan berani Ramanan dalam soal integriti dan penyaluran dana perlu dipuji apatah lagi ketika masyarakat India melahirkan kekecewaan mereka dengan beberapa dakwaan skandal sebelum ini.
“Ramanan telah memberi jaminan sebarang penyelewengan membabitkan dana agensi itu tidak akan berulang. Ini yang diharapkan komuniti India di negara ini setelah mereka dengar segala macam cerita negatif sebelum ini.
“Berdasarkan beberapa pengumuman di MITRA baru-baru ini, jelas sekali unit kini lebih telus dan berintegriti dalam setiap pengagihan dana kepada kumpulan sasar. Tahniah kepada Ramanan dan seluruh pasukan MITRA yang bertungkus lumus selama ini.
“Inilah juga harapan dan objektif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menubuhkan Pasukan Petugas Khas ini, syabas kerana berjaya tentukan satu hala tuju yang lebih terjamin, tersusun dan terancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Timbalan Ketua Penerangan PKR I telah mengumumkan peruntukan RM100 juta MITRA menerusi Belanjawan 2023 telah diagihkan sepenuhnya dan memanfaatkan lebih 100,000 orang dan proses penyaluran dana sedang berjalan lancar secara berperingkat.
Pengagihan 100 peratus ini adalah pertama kali (dicapai) sejak 2016, menurutnya peruntukan sebanyak RM100 juta masing-masing pada 2016 dan 2017 mencapai pengagihan 35 peratus dan 57 peratus.
Untuk tahun 2023 , julung kalinya dana RM100 juta dapat dipertuntukan untuk pelbagai inisiatif, program pemerkasaan masyarakat India di negara ini.
Ini merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, sains dan teknologi, pembangunan sekolah Tamil serta peluang pekerjaan yang terjamin.
Dalam pada itu Kumaresan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri baru- baru ini di Parlimen bahawa peranan MITRA akan diperkasakan dan diperkukuhkan lagi.
“Perdana Menteri juga cukup prihatin dengan perkembangan di MITRA dan kita sangat berharap peruntukan yang lebih banyak untuk masyarakat India akan diberikan memandangkan dana RM100 juta telah diagihkan sepenuhnya bagi tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette