Datuk Seri Amirudin Shari

GOMBAK – Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan laporan polis yang hendak dibuat ke atas Datuk Dr. Radzi Mohd Jidin apabila menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat sebagai suatu tindakan yang mengikut undang-undang.

Menteri Besar Selangor itu berkata, tuduhan yang dilemparkan Ahli Parlimen Putrajaya terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak membawa sebarang kebaikan, malah rakyat sendiri telah menolaknya.

“Itu tindakan ada undang-undang dan sebagainya…teruskanlah, sebab saya rasa benda itu tidak akan membawa kebaikan dan rakyat pun menolak

“…sebab itu dibuat (laporan) untuk ambil tindakan undang-undang, tapi, budaya politik ni tak sihat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Unit Pangsapuri Selangorku, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin kelmarin yang akan membuat laporan polis termasuk di seluruh negara terhadap Radzi.

Kelmarin Shamsul dilapor berkata, beliau akan meneliti hansard Dewan Rakyat terlebih dahulu dan jika benar kenyataan itu direkodkan, pihaknya akan meminta polis menyiasat ahli Parlimen berkenaan.

Beliau turut meminta Radzi jangan ‘koyak’ kerana dalam perbahasan pada Selasa, perkara yang dibangkitkan Perdana Menteri adalah mengenai pentadbiran lalu yang mana Ahli Parlimen Putrajaya sebahagian daripadanya.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, tuduhan yang dilempar oleh Radzi kepada Perdana Menteri itu merupakan isu lama yang diulang-ulang sejak 25 tahun lalu.

Ujarnya, rakyat telah jemu dengan tuduhan politik seperti itu, dan apa yang dimahukan adalah kemajuan untuk masa hadapan.

“…dan kalau tak boleh menjawab hujah…kalau saya boleh ulas sedikit…saya ada di dalam Parlimen (semasa insiden tikam lidah).

“Apa yang berlaku ialah salah faham je. Bila Perdana Menteri dah terangkan bahawa tuduhannya bukan pada masalah rasuah tetapi melepaskan dalam isu DNAA dan Perana Menteri masih lagi menjawab tentang DNAA.

“Tetapi, orang yang sana tak nak menerima dan menjadikannya sebagai pentas kehakiman di Parlimen…itu drama sebelum berakhir sidang,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional di atas sikap yang ditunjukkan dan berhadap agar Parlimen menjadi medan debat yang berkualiti berbanding melihat drama dan aksi ditunjukan ahli Parlimen. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tuduh PM peliwat, laporan polis di seluruh negara ke atas Radzi