KUALA LUMPUR – Ibu selebriti popular, Datin Noor Kartini enggan mengulas mengenai kisah rumah tangga anaknya, Noor Nabila dengan Engku Emran.
Noor Kartini berkata, anaknya itu pun sudah berkeluarga dan menyarankan agar bertanya sendiri kepada Nabila sekiranya ada persoalan.
“Kalau boleh urusan rumah tangga anak-anak saya enggan campur dan saya tak nak tahu. Paling utama saya nak hidup bahagia saja dengan anak dan cucu. Bagi saya mereka semua di mata dan hati saya.
“Tak ada apa lagi saya nak rungutkan sebab bukan ramai ibu-ibu luar sana yang bertuah, bernasib baik, beruntung, Allah bagi nikmat macam mana saya dapat kasih sayang dalam keluarga anak-anak saya. Itu cukup,” katanya ketika ditemui pada acara Disney X Naelofar Princess, di sebuah pusat beli-belah, hari ini.
Sebelum ini, terdapat desas-desus mengenai hubungan rumah tangga Noor Nabila dan Engku Emran yang dikatakan bermasalah.
Sementara itu, ditanya mengenai salah seorang anaknya iaitu Ameera Khan yang dikatakan terbabit dengan judi lumba kuda, Noor Kartini memaklumkan dia perlu tampil bersuara apabila ia merupakan fitnah.
“Alhamdulillah… tak ada sesiapa pun tengok anak-anak saya ada di kelab (malam), tempat perjudian, minum arak, hisap rokok, shisha dan vape. Itu saya boleh rasa banggalah dengan anak-anak,” ujarnya.
Sementara itu, Neelofa ketika ditanya mengenai status perkahwinan kakaknya berkata, beliau selesa untuk tidak mengetahui perihal rumah tangga Nabila.
“Saya tak suka nak ambil tahu. Malas. Kita adik-beradik memang sentiasa mendoakan yang terbaik, dalam apa-apa keadaan sekali pun, bukan kepada dia sahaja,” katanya.
Tambahnya, kakaknya itu juga tidak pernah meluahkan isi hati atau masalah rumah tangga kepadanya.
Spekulasi kegoyahan hubungan rumah tangga Noor Nabila dengan Emran kembali bertiup kencang selepas hangat diperkatakan sebelum ini.
Nabila dan Engku Emran berkahwin pada 19 Mac 2021. Sebelum menikahi Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.-MalaysiaGazett