SUBANG – Polis melanjutkan tempoh reman ke atas tujuh suspek, termasuk seorang wanita, bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki di dalam kereta di Puchong awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kesemua suspek disiasat atas laporan mengenai penculikan seorang penganggur di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah Sungai Besi.
“Kami telah reman mereka sehingga 20 September lalu meneruskan siasatan kami yang dijalankan dalam aspek penemuan mayat dalam kereta dan kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes culik, bunuh: Teman wanita mangsa antara tiga lagi suspek direman
Pada 6 September lalu, mayat mangsa berusia 26 tahun itu ditemukan di dalam kereta Proton Gen2, 12.50 di kawasan bersebelaha stesen minyak di Batu 14, Puchong.
Berikutan penemuan itu polis membuat beberapa siri tangkapan membabitkan tujuh suspek termasuk salah seorang dipercayai teman wanita mangsa untuk membantu siasatan.
Menurut Wan Azlan, kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut. – MalaysiaGazette