Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pihak yang menentang penjuangan beras tempatan kepada warganegara Malaysia sahaja digesa melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tidak sewajarnya pihak berkenaan hanya duduk di rumah menikmati beras import namun membiarkan rakyat tempatan berebut beras subsidi dengan warga asing.

“Mohon datuk ni pergi turun ke bawah dan lihat sendiri, bukan hanya duduk kat rumah sambil makan beras import,” tegur beliau.

Muhamad Akmal mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George yang menekankan cadangan supaya beras tempatan dijual kepada warga Malaysia sahaja sebagai tidak berperikemanusiaan.

Muhamad Akmal berkata, tidak timbul isu kemanusiaan dalam cadangan tersebut kerana ia melibatkan kepentingan rakyat tempatan.

“Langkah tidak berperikemanusiaan katanya? Lagi tidak perikemanusiaan bila rakyat Malaysia hanya mampu tengok sahaja warga asing beli beras tempatan yang disubsidi oleh kerajaan

“Bila beras dah cukup dan ada lebihan, bagilah siapa nak beli, ini isu beras tempatan tak cukup ya Datuk,” kata Muhamad Akmal.

Jacob sebelum ini berkata, gesaan beberapa pemimpin politik supaya pembelian beras tempatan dihadkan hanya kepada rakyat Malaysia dianggap tidak masuk akal kerana langkah sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan huru-hara.

Menurutnya, cadangan itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan kepada warga asing yang menetap di sini, malah tindakan jangka pendek yang hanya menyusahkan kerajaan.

“Pertama, perlu tahu kenapa negara berada dalam keadaan begini. Ini akibat daripada bertahun-tahun kita tak jaga sekuriti makanan, isu ini telah lama ditinggalkan.

“Kedua, kita beri tanggungjawab ini kepada kroni atau orang yang memegang monopoli tertentu.

“Jadi, apabila timbul masalah terutama sekatan tertentu dari negara pengeksport beras, terdedahlah dengan sendiri masalah yang kita sedang hadapi dan keluarlah cadangan tak masuk akal seperti sekat warga asing beli beras tempatan,” katanya.

Muhamad Akmal dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal antara mengutarakan cadangan berkenaan susulan kesukaran rakyat membeli beras tempatan sementara beras yang diimport mengalami kenaikan harga yang tinggi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Salam refoMATI,
    Natizen cadang beras tempatan dijual hanya dinegeri2 miskin Perlis, Kedah, Kelantan dan Trengganu sahaja.

    Beras import jual di negeri2 maju kaya raya P Pinang, Perak, Selangor, N Sembilan dan Johor.

    Nampak lebih adil. Peace.

Comments are closed.