IPOH – Polis menahan enam lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun berkumpulan di sebuah kilang elektronik di Jalan Lapangan Terbang di sini pada 14 Sept lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kesemua suspek yang berumur 27 hingga 47 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Ipoh, Pulau Pinang dan Selangor menerusi Op Kargo Carsem sejak dua hari lepas.
Beliau berkata dalam kejadian pukul 9.15 malam Sept lepas, sekumpulan lelaki telah memecah masuk ke kawasan kilang itu dan mengikat pengawal keselamatan yang menjaga pintu kilang, sebelum melarikan sejumlah bahan logam mampat bernilai kira-kira RM180,000 dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Polis berjaya menemui semula semua besi mampat yang dilarikan itu di sebuah rumah di Bercham di sini milik saudara salah seorang suspek termasuk kenderaan, pakaian dan telefon bimbit yang digunakan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya dalang utama kumpulan penyamun itu adalah seorang pengawal keselamatan di kilang berkenaan, yang bertindak membuka pintu kilang untuk membawa masuk rakannya ke dalam stor kilang.
Yahaya berkata lima daripada enam suspek itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau, dan salah seorang suspek berusia 47 tahun didapati positif dadah jenis morfin.
Beliau berkata semua suspek direman sehingga 26 Sept ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan bersenjata.- BERNAMA