Calon Bebas N36 Pelangai, Haslihelmy Dm Zulhasli selepas menyerahkan borang penamaan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Pelangai. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli menyifatkan penyertaan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebagai protes pemilihan calon Barisan Nasional (BN).

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu tidak berpuas hati berikutan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohd Zaini Salleh tidak terpilih sebaliknya pucuk pimpinan memilih Datuk Amizar Abu Adam.

“Saya nak buktikan kepada anak Pelangai, takkan orang yang pernah kalah pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) tapi dia nak nak letak lagi, tak ada orang lain ke dalam bahagian?

”Jadi sebab itu apabila 20 September lalu semasa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang umumkan, saya sudah nekad akan bertanding.

”Saya berlapang dada hari ini,  saya sedih sebab UMNO tak dengar suara akar umbi, kalau UMNO letak calon yang sesuai di Pelagai ini, saya tak bertanding, kalau Datuk Seri Zaini bertanding saya tak bertanding,” katanya.

Pada PRU-15, Amizar yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong itu pernah bertanding kerusi DUN Ketari tetapi tewas kepada calon PH, Su Keong Siong.

Justeru beliau mempersoalkan calon lain yang lebih layak untuk diletakkan berbanding calon yang pernah kalah.

Menurut Haslihelmy, beliau akan menggunakan segala pengalaman beliau dalam kepimpinan parti bagi menambat hati para pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Haslihelmy dikatakan menjadi individu terawal hadir ke pejabat SPR untuk membeli borang pada 29 Ogos lalu untuk membeli borang penamaan calon.

Hari ini beliau tiba di Pusat Penamaan Calon dan menyerahkan kertas penamaan pukul 9.07 di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

”Saya rasa lega, saya akan gunakan apa pengalaman dalam UMNO bermula 2008 hingga sekarang saya akan gunakan akses dekat sini untuk melawan UMNO Bentong, bukan saya nak melawan kepimpinan tapi sebab caranya.

”Saya memang sayangkan UMNO, adik beradik saya pun orang UMNO, ini bukan soal prinsip tapi kalau UMNO letak calon yang sesuai saya akan berlapang dada,” jelasnya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Haslihelmy menggunakan simbol kereta  menentang dua lagi calon iaitu Amizar dan Kasim Samat daripada Perikatan Nasional (PN) pada 7 Oktober nanti.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU-15, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Keahlian UMNO Haslihelmy gugur serta merta – Zahid

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.