Teo Nie Ching

KULAI – Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menyatakan sudah tiba masang menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dalam usaha mengukuh hubungan antara Pakatan Harapan (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana ketika ini wakil-wakil daripada Pakatan Harapan (PH) sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) masih tiada dalam kerajaan negeri sebagai anggota Exco.

“Johor saya rasa tak ada lagi perbincangan tentang itu. Apabila Kerajaan Perpaduan ini dibentuk peringkat pusat, kita di PH tidak dilantik dalam barisan Exco atau  pun duduk dalam kerajaan negeri kerana ia dibentuk lebih awal sebelum Kerajaan Perpaduan.

“Setakat ini memang PH dalam kerajaan Johor masih lagi menjalankan semak dan imbang. Kalau ada sebarang apa-apa kekurangan kami akan hadapi bersama.

“Saya rasa memang ada cadangan tersebut tetapi ia terbuka kerana setakat ini kerjasama semakin rapat dan ia paling penting,” katanya  selepas menyerahkan sumbangan khemah kepada 120 peniaga Pasar Pagi Merbau, Bandar Putra hari ini.

Beliau mengulas cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri kerana ketika ini kerajaan Johor masih lagi diterajui UMNO dan BN sementara PH dan PN masih lagi menjadi pengimbang dengan wakil DAP dilantik sebagai Ketua Pembangkang. – MalaysiaGazette