Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap waspada di Perlis dan beberapa kawasan di Kedah, hari ini dan esok.

Dalam satu kenyataan, MetMalaysia memaklumkan kawasan terjejas di Kedah termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan dan Pendang.

Dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan angin baratan dijangka bertiup kencang dan menumpu di kawasan utara Semenanjung Malaysia dalam tempoh sehingga esok.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang, di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia termasuk kawasan perairan negeri-negeri berkenaan,” menurut kenyataan MetMalaysia itu.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca, bagi  mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih. – Bernama