Calon Barisan Nasional (BN) N36 Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam menyantuni peniaga dan penduduk setempat pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N36 DUN Pelangai di tapak pasar malam Felda Chemomoi, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Persaingan dengan bekas rakan sekutu sendiri yang kini bertanding di bawah tiket bebas tidak menggugat kedudukan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam.

Jelasnya kehadiran Pemuda UMNO Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli yang turut bertanding pada PRK DUN Pelangai tidak memberi kesan kepada gerak kerja kempen Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong itu.

Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, pilihan raya di Malaysia adalah elemen penting bagi menterjermah pilihan dan kepercayaan rakyat untuk menerajui kepimpinan sesebuah negara.

“Negara ini demokrasi kita terbuka kepada siapa sahaja yang nak bertanding. Kita tak menghalang sesiapa pun nak bertanding dalam meraikan demokrasi, silakanlah.

“Sistem ini kita buka peluang kepada mereka untuk bertanding. Insya-Allah tidak ada mengganggu-gugat,” katanya selepas beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung pasar malam Felda Chemomoi di Bentong, Pahang.

Amizar berkempen dengan ditemani bapanya, Abu Adam Duanji dan Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau menyantuni dan bertemu secara dekat dengan para peniaga dan pengunjung.

Setakat ini, katanya, sambutan yang diberikan oleh pengundi begitu baik dan positif untuk melihat BN  meneruskan kepimpinan di Pelangai.

Amizar berkata, beliau adalah anak tempatan yang membesar dan menamatkan zaman persekolahan di Felda Chememoi sebelum keluar untuk sambung belajar.

Katanya, masuk hari kedua berkempen, beliau gembira dapat bertemu dengan saudara mara rakan-rakan di Felda Chememoi

”Alhamdulillah, penerimaan sangat baik dan mereka mahu kesinambungan BN di negeri Pahang,” ujarnya.

Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Anak Suara Pahang (PSAP) nekad bertanding atas tiket calon bebas bagi kerusi DUN Pelangai sebagai protes terhadap pemilihan Amizar.

Selain calon bebas, Amizar turut dicabar oleh wakil Perikatan Nasional (PN),  Kasim Samat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast