Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd NaÕim Mokhtar bercakap kepada media selepas Majlis Penutupan Ihtifal Iimi Sekolah Menegah Agama Malaysia (MIISMAM) Kali ke- 9 Tahun 2023 di Sekolah Agama Majlis Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memperkasakan pengurusan Mahkamah Syariah dan menambah baik sistem perundangan Islam di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, perkara itu perlu dilakukan segera sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenainya, semalam.

“Sebagai mantan Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, yang duduk di Mahkamah Syariah untuk tempoh lebih 20 tahun, saya menjunjung titah.

“Apa yang Tuanku hasratkan untuk melihat hakim-hakim Syarie lebih profesional, lebih terbuka dan memastikan supaya proses mahkamah itu dapat disegerakan tanpa memprejudis keadilan.

“Saya sudah mengarahkan JKSM sebagai agensi penyeleras Mahkamah Syariah di seluruh negara untuk melaksanakan titah Tuanku,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kali ke-9 Tahun 2023 di Kompleks Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP), Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini.

Semalam, YDPA bertitah agar pengurusan Mahkamah Syariah termasuk kedudukan hakim dan peguam syarie perlu terus diperkasa dan ditambah baik bagi menambah kewibawaan sistem perundangan Islam di negara ini.

Titah Baginda, hakim syarie, pegawai mahkamah dan peguam Syarie bertanggungjawab secara kolektif dalam memastikan prosiding mahkamah berjalan lancar.

YDPA berharap agar lebih banyak usaha dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah dan institusi agama Islam yang lain.

Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, JKSM diarahkan untuk berbincang dan menjadi penyelaras kepada semua Mahkamah Syariah di negara ini.

“Tuanku sudah bagi titah, jadi JKSM menyelaras, tengok ada titah Tuanku tersebut, bincangkan dengan ketua-ketua hakim syarie negeri.

“Cari jalan terbaik bagaimana nak pastikan hasrat dan titah Tuanku itu dilaksanakan dan diseragamkan di seluruh mahkamah syariah di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette