Gambar hiasan

IPOH – Seorang remaja dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan seorang lagi mangsa di Pantai Teluk Senangin dekat Lumut, di sini, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung berkata, sehingga kini Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, masih belum ditemukan selepas menyelamatkan seorang lelaki yang lemas di pantai terbabit.

“Sebelum kejadian, ketika mangsa sedang mandi telah melihat seorang lelaki lemas lalu segera memberi pertolongan.

“Mangsa berjaya menyelamatkan individu yang hampir lemas namun kemudian mangsa dikatakan dihanyutkan arus, sebelum tenggelam dan hilang daripada pandangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), PDRM, APM, dan KKM.

“Kita masih mengesan mangsa dengan bantuan daripada empat bot nelayan namun usaha terpaksa diberhentikan seketika akibat cuaca buruk dan ombak kuat.

“Komuniti nelayan turut melakukan usaha mencari menggunakan teknik lintang pukat di kawasan mangsa dikhuatiri lemas,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast