Ahli Lembaga Pengarah PIDM Datuk Dr Nik Ramlah Mahmood (ketujuh dari kiri, baris kedua), Gloria Goh Ewe Gim (kelima dari kiri, baris kedua), Rafiz Azuan Abdullah, (keenam dari kiri, baris kedua) dan Naib Presiden Eksekutif Lee Yee Ming (kelapan dari kiri, baris kedua) dan Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi (keempat dari kiri, baris kedua) bersama 20 penerima Program Biasiswa Ijazah Sarjana Muda PIDM 2023 (barisan hadapan), dan para graduan.

KUALA LUMPUR – Seramai 20 orang pelajar dianugerahkan biasiswa menerusi Program Biasiswa Sarjana Muda Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Program biasiswa yang bermula pada tahun 2010 itu telah menawarkan biasiswa kepada 228 pelajar yang mengikuti pelbagai bidang pengajian.

Tahun ini, PIDM menerima 1,189 permohonan daripada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM berkata, memperkasakan generasi akan datang menerusi pendidikan adalah komitmen yang dipegang teguh oleh perbadanan itu.

“Kami yakin dengan sokongan yang betul, mereka akan terus cemerlang dari segi akademik dan memainkan peranan penting dalam memajukan negara dan masyarakat kita. Setiap penerima biasiswa berpotensi besar dan kami bangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan mereka.

“Kami berharap mereka akan dapat mencapai cita-cita dengan cemerlang, sepertimana yang kita lihat pada graduan biasiswa sebelum ini,” kata Rafiz.

Cham Chiao Wen dari Sandakan, Sabah, bersyukur menerima Biasiswa Sarjana Muda PIDM kerana ia akan membantu beliau dari segi kewangan.

Bagi membantu menyara keluarganya, Chiao Wen melakukan beberapa kerja sambilan walaupun terpaksa mengimbangi tanggungjawab antara sekolah, kerja dan urusan keluarga, beliau masih berjaya mencapai
keputusan cemerlang dalam semua peperiksaannya.

“Saya bercita-cita menjadi seorang juruaudit, dan dengan program bimbingan PIDM, saya dapat memperoleh pandangan, nasihat dan pengetahuan praktikal yang berharga melangkaui apa yang disediakan dalam buku-buku teks. Ini dapat mempertingkatkan pengalaman pembelajaran serta perkembangan peribadi saya,” kata Chiao Wen yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Nor Sahara Abd Haniff yang berasal dari Seremban berkata, beliau tahu tentang biasiswa itu melalui saluran maklumat khusus untuk biasiswa di aplikasi pesanan ringkas dan terus memohon setelah melihat makluman tersebut.

Beliau bercita-cita untuk menjadi usahawan yang berjaya dan akan memulakan pengajian peringkat ijazah dalam Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Melalui Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM, penerima seperti saya mendapat bantuan kewangan, pendedahan industri, pembangunan profesional, bimbingan, dan peluang perangkaian (networking opportunities). Manfaat tersebut dapat mempertingkatkan perjalanan akademik dan profesional saya,” kata Nor Sahara.

Jeevanesh a/l Gunalan dari Klang, Selangor pula gembira dan lega apabila terpilih sebagai penerima biasiswa.

Bakal jurutera kecerdasan buatan (AI) itu akan melanjutkan pelajaran beliau ke peringkat Sarjana Muda Kecerdasan Buatan di Universiti Malaya (UM).

“Keluarga saya adalah pendorong terbesar untuk terus berjaya. Dengan anugerah biasiswa ini, saya boleh menumpukan kepada pengajian saya tanpa kekangan kewangan. Saya akan melakukan yang terbaik dan ingin mendedikasikan kejayaan saya kepada ibu bapa sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan mereka,” tambah Jeevanesh.

Program Biasiswa Sarjana Muda PIDM menyediakan bantuan kewangan untuk membolehkan penerima melanjutkan pengajian tinggi merangkumi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup, dan alat bantuan belajar.

Selain bantuan kewangan, PIDM memberi peluang bimbingan (mentorship) kepada penerima biasiswa daripada kakitangannya dan alumni program, serta menawarkan peluang untuk menjalani latihan praktikal di PIDM bagi
melengkapkan pengajian mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast