Terminal Feri Kuah (Gambar fail)

ALOR SETAR – Feri yang membawa 472 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah pada jam 4 petang tadi terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk berikutan ribut dan ombak tinggi.

Sehubungan itu, Penolong Pengurus Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Left Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, berkata trip laluan dari Langkawi -Kuala Kedah- Langkawi pada jam 4 petang dan 7 malam ini terpaksa dibatalkan.

“Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd telah menyediakan trip tambahan untuk pilihan kepada penumpang yang ingin menaiki trip laluan ke Pulau Langkawi – Kuala Perlis pada jam 7.30 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Norhafiz berkata trip laluan dari Kuala Kedah bagi jam 7 pagi esok juga dibatalkan akibat cuaca buruk itu.

Katanya, ketinggian ombak lebih kurang 3.0 meter boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot kecil.

Beliau berkata penumpang yang ingin menukarkan tarikh dan masa perjalanan untuk hari berikutnya boleh berbuat demikian dan pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan dialami.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast