JOHOR BAHRU – Kerajaan dalam perancangan untuk mengkaji semula Akta Industri Pelancongan bagi mensyaratkan pengusaha penginapan termasuk inap desa (homestay) berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ia akan dilaksanakan dalam waktu terdekat bagi memberi nilai impak positif kepada negara.
“Kita akan berbincang peringkat kementerian terlebih dahulu membabitkan bahagian yang mengawal selia perkara itu.
“Kementerian akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dan memastikan semua pelanggan inap desa mendapat perlindungan insurans, ini bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam tadi.
Sebelum itu, tular dakwaan yang didedahkan di sebuah platform media sosial Xiaohongshu yang berpangkalan di Shanghai pada 14 September lalu berhubung sebuah inap desa yang didiaminya di Sabah telah dipasang dengan kamera tersembunyi.
Sehubungan itu, King Sing dilaporkan telah meminta kerajaan Sabah, MOTAC Sabah dan agensi berkaitan mengambil tindakan serius dan sewajarnya terhadap dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, King Sing memberitahu, kementerian hanya boleh mengambil tindakan sekiranya inap desa tersebut berdaftar dengan MOTAC. – MalaysiaGazette