Mohamad Sabu

JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani India secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan eksport beras.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pertemuan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) itu antara lain mengemukakan permohonan kepada kerajaan India untuk meneruskan pengeksportan beras putih mereka ke negara ini.

Bagaimanapun, hingga kini jelasnya, KPKM masih belum mendapat maklum balas daripada Kementerian India itu berhubung penetapan tarikh perjumpaan yang perlu diadakan secepat mungkin

“Menyekat aktiviti eksport beras putih secara mengejut itu boleh membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia ini. Beras Basmathi masih boleh diimport dengan banyak tetapi harganya adalah lebih mahal.

“Sebab itu, kita nak berbincang secara G2G bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras tempatan yang melanda negara ketika ini.

“Kita masih lagi menunggu tarikh yang diberikan, sekiranya mereka bersetuju untuk mengadakan pertemuan pada minggu ini pun kita boleh pergi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Hotel Thistle, di sini malam tadi.

Mohamad berkata, kenaikan harga itu menjadi punca kebanyakan pengguna beralih membeli beras putih tempatan (BPT) menyebabkan berlakunya sedikit kekurangan bekalan di beberapa lokasi dalam negara.

“Bekalan beras kita masih mencukupi, cumanya kalau harga yang diimport itu tinggi menyebabkan orang ramai beralih kepada beras tempatan.

“Masalah kekurangan bekalan beras ini merupakan krisis global yang turut menjejaskan banyak negara dan Malaysia dapat tangani isu ini lebih baik berbanding negara lain dari segi kekurangan beras,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast