Anggota polis mengawal keadaan trafik selepas sebuah van Le Tour de Langkawi membawa pelumba Giant Cycling Team terbalik di zon neutral perlumbaan di Jeli pagi tadi.

BALING – Sebuah van membawa pasukan Giant Cycling Team terbabit kemalangan semasa perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Jeli, Kelantan ke sini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal, berkata, van membawa pasukan berpangkalan di China itu dilaporkan terbalik semasa di zon neutral perlumbaan di depan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Jeli kira-kira 10 pagi tadi.

“Tiga pelumba pasukan, Lin Chuanyang, Wang Zichen dan Huang Junlei berada dalam van ketika kemalangan.

“Mereka sebenarnya tidak dapat berlumba hari ini kerana dibatalkan penyertaan selepas tiba lewat di pelepasan yang terletak di UMK. Bagaimanapun, tiada kecederaan serius berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Giant Cycling Team mempertaruhkan empat pelumba pada LTdL 2023, dan kejadian itu tidak menimpa seorang lagi pelumba Deng Penghai, yang difahamkan sempat memulakan perlumbaan peringkat ketiga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran LTdL, Ahmad Shapawi Ismail, berkata, semua pelumba sudah dibawa ke Hospital Jeli bagi mendapatkan rawatan.

“Tiada kecederaan serius melibatkan pemandu dan pelumba. Semua dibenarkan keluar hospital dan dalam perjalanan ke hotel bagi menghadapi perlumbaan berikutnya di Butterworth.

“Laporan polis dibuat di IPD Jeli. Kejadian terjadi akibat pemandu terlajak dari tempat permulaan bagi peringkat ketiga dan terbabas di tebing jalan sebelum terbalik,” katanya dalam sidang media di sini.

Pengurus Giant Cycling Team, Guo Qiang Song, memaklumkan pasukannya memutuskan untuk meneruskan perlumbaan berbaki lima peringkat itu.

LTdL 2023 sudah mengharungi tiga daripada lapan peringkat perlumbaan meliputi jarak sejauh 556.7km.

Perlumbaan peringkat keempat meliputi jarak 140.2km esok dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, Perak menawarkan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Talang dan Sungai Siput, selain satu zon pendakian kategori tiga di Kuala Kangsar.