Kotor.Penginapan warga asing yang tiada kawalan dilihat tidak tersusun ketika serbuan di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kotor dan menjijikkan!

Itu suasana penginapan sekumpulan warga asing yang bekerja di sebuah syarikat membuat plastik di Taman Tan Sri Yaakob Skudai di sini ketika satu pemeriksaan operasi khas pihak berkuasa hari ini.

Hasil serbuan sekumpulan anggota penguatkuasaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia kira-kira pukul 2.30 petang tadi turut mendapati keadaan bilik mereka sempit, panas selain tidak mempunyai bilik air dan dapur yang sempurna.

Difahamkan warga asing berkenaan yang bekerja secara syif dan berkongsi tempat tidur yang sama di dalam tiga buah bilik berasingan yang terletak tidak jauh dari kilang berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan sebahagian warga asing berkenaan sedang memasak di ruang bawah penginapan dalam keadaan kotor manakala tandas di setiap penginapan juga dilihat tidak mempunyai pintu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTK, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan yang mempunyai seramai 325 pekerja warga asing itu masih belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan Perakuan Penginapan daripada pihaknya.

Justeru pihaknya akan mengambil tindakan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) terhadap majikan sekiranya terdapat unsur pengabaian dalam soal penginapan warga asing berkenaan.

“Satu masalah lagi di situ bilik tidur dan di situ jugalah tempat mereka memasak. Bawang, cili semua ada dan peti ais pun ada dalam bilik tidur.

“Hari ini kita bersama dengan agensi-agensi lain seperti kita ada jabatan kesihatan kita ada polis dan juga anggota imigresen. Yang pertamanya kalau kita tengok segala kemudahan itu memang di luar daripada apa yang kita tetapkan dalam Akta 446.

“Contohnya dia mesti ada locker berkunci sebab ia penting untuk pekerja-pekerja simpan barang berharga mereka sebab itu bila kita tanya di mana mereka simpan barang berharga seperti pasport atau pun permit kerja, mereka kata ia disimpan oleh majikans mereka,” katanya selepas mengadakan serbuan sempena Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu Johor Bahru di kilang berkenaan hari ini.

Menurut Mohd Asri, operasi sama turut memfokuskan isu lain seperti bayaran kerja lebih masa, caruman Perkeso, permit kerja dan aspek keselamatan premis.

Mohd Asri

Justeru pihaknya mengingatkan kepada semua majikan agar mematuhi akta yang telah ditetapkan atau berdepan dengan tindakan tegas pihaknya.

 

Untuk rekod, sehingga hari ini, sebanyak 326 kertas siasatan di bawah Akta 446 melibatkan penginapan dan asrama pekerja dibuka jabatan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 187 kertas siasatan telah diberikan tawaran kompaun berjumlah lebih RM1.9 juta. – MalaysiaGazette