KUALA LUMPUR – Seorang penuntut kolej cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terjatuh dari jejambat pusingan U di Ukay Perdana, Ampang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang berhampiran Masjid Ukay Perdana, penunggang motorsikal itu dalam perjalanan dari Taman Al- Ridhuan, Hulu Kelang menuju ke Masjid Ukay Perdana.
“Semasa melalui selekoh pusingan U jalan tersebut, penunggang motorsikal terbabit tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tembok penghadang hingga menyebabkan penunggang motorsikal tercampak dan jatuh ke bawah jejambat pusingan U tersebut pada ketinggian lebih kurang 20 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd Azam, akibat insiden itu mangsa warga yang berumur 21 tahun patah tulang kaki kiri, rusuk kanan dan tulang belakang.
Katanya, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang dan keadaan dilaporkan stabil.
Mohd Azam berkata, kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959).
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang insiden tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis daerah Ampang Jaya Insp Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093. – MalaysiaGazette