Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak adil untuk mengatakan bahawa kerajaan persekutuan tidak memberi peluang kepada pelabur asing melabur di negeri-negeri pembangkang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan persekutuan tidak pernah melupakan negeri-negeri yang dipimpin pembangkang kerana sebelum ini ramai pelabur asing menanam modal di negeri-negeri terbabit ketika beliau mengetuai Putrajaya.

“Tidak boleh kata Kelantan tidak boleh (pelaburan) kerana dia pembangkang, kita tidak pernah buat begitu dari segi menarik pelaburan, kalau tengok industri yang paling besar di Selangor, Pulau Pinang sudah lama, tapi kita masih bawa pelaburan ke negeri tersebut,

“Bagi kita kalau tidak ada SG4 pun kerajaan persekutuan tidak pernah melupakan, tidak perlu komen,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu 2023, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan peranan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada kumpulan empat negeri (SG4) tidak akan memberi banyak manfaat kepada kumpulan tersebut.

Menurut Ismail Sabri, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan tidak menghadkan pelaburan masuk ke negeri-negeri kerajaan sahaja namun turut diagihkan kepada negeri-negeri pembangkang.

“Waktu saya keluar negara dahulu, ada yang nak melabur di Pulau Pinang, Kelantan, jadi kita tidak kisah kerana bagi Persekutuan apa sahaja yang masuk untuk pelaburan itulah kelebihan kepada negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette