KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menyasarkan sekurang-kurangnya RM200 juta dana terkumpul menerusi produk Akaun Pelaburan i-Rizq Plus yang bermula Ogos lalu sehingga Januari 2025.

Pemangku pengerusinya, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, sasaran itu mampu dicapai selepas pihaknya menaikkan hadiah keseluruhan dari RM1 juta kepada RM5.8 juta kali ini.

“Setakat ini, selepas kita lancarkan produk ini pada Julai tahun lepas, dana terkumpul kini mencecah lebih RM100 juta. Kalau dalam lapan bulan kita boleh mencecah lebih RM100 juta, menjelang Disember 2024 ini kita anggarkan lebih RM300 juta dana dapat dikumpul.

“Kita menaikkan jumlah hadiah cabutan untuk memberi peluang kepada pelanggan-pelanggan kami memenangi hadiah utama RM1 juta,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Minum Petang Sempena Ulang Tahun Bank Rakyat ke-69 di Menara Berkembar Bank Rakyat, Brickfields.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman.

Dalam pada itu, sejak jumlah hadiah itu dinaikkan kepada RM5.8 juta, Bank Rakyat menerima 20,000 pelanggan baharu bagi akaun pelaburan itu.

“Setakat Ogos lalu, kita ada lebih 20,000 pelanggan baharu walaupun jumlah banyak, peluang untuk menang cabutan sangat tinggi.

“I-Rizq Plus bukan sekadar deposit tapi ia adalah produk pelaburan Bank Rakyat yang dilabur dalam pelaburan patuh syariah dan selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette