Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melawat tapak jualan ketika hadir ke program Karnival Buah-Buahan Daerah Bentong di Dataran Pelangai, Simpang Pelangai, Bentong. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Barisan Nasional (BN) tidak memperdaya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan menawarkan janji bulan dan bintang.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menawarkan pembangunan dan kestabilan demi masa depan mereka dengan komitmen berterusan.

Dalam masa yang sama beliau menyangkal dakwaan pembangkang kawasan Felda bukan lagi kubu kuat UMNO.

“Dia (pembangkang) boleh cakap apa sahaja, janji langit dan bintang bagai orang bercinta, masa bercinta janji nak bagi emas sekerat ini bila sudah nikah sikit pun tak bagi.

“Kita bukan tak kenal, diorang cakap sahaja macam orang dari ‘utara’ datang berkempen cakap perihal peribadi seseorang. Seharusnya sebagai pemimpin sepatutnya cakap visi dan pembangunan, rakyat boleh tengok,” katanya selepas menghadiri Karnival Buah-buahan Daerah Bentong 2023 di Dataran Pelangai di sini hari ini.

Wan Rosdy juga optimis warga Felda di DUN Pelangai akan terus memihak kepada calon yang diketengahkan BN, Datuk Amizar Abu Adam.

DUN Pelangai mempunyai tiga penempatan Felda iaitu Felda Kemasul, Felda Chemomoi dan Felda Kemahal.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) terdapat 7,983 pengundi bagi ketiga-tiga Felda tersebut.

Beliau berharap rakyat negara yang dikenali dalam masyarakat majmuk akan terus mengekalkan perpaduan akan meneruskan kesinambungan di Pelangai.

“Saya percayalah pengundi di Pelangai ini ada seramai 16,456 orang, separuh daripadanya pengundi Felda akan memilih Datuk Amizar.

“Ini kerana mereka yakin Datuk Amizar boleh jadi wakil mereka untuk membantu mereka sekiranya mereka memerlukan apa-apa bantuan dan pertolongan, untuk pembangunan Pelangai ini,” katanya lagi.

PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN,l Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Hoih..lupa ka yg berjanji bulan dan bintang tu skang ni bukan jd pembangkang tp jd partner sebantal parti kamu? Hahaha.. pening lg ni. Masih dok rasa parti ni abg long kawasan eh..

Comments are closed.