Dr Mohd Famey meninjau lokasi tapak pelupusan sisa buangan terjadual di kilang di Kulai hari ini.

JOHOR BAHRU –  Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus dan penyelia sebuah syarikat kitar semula bahan buangan terjadual kerana disyaki melupuskan sisa buangan terjadual secara haram di sebuah premis di Seelong, Kulai semalam.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kedua-dua suspek berusia 58 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan pasukan anggota penguat kuasa jabatan berkenaan kira-kira pukul12.30 tengah hari.

Katanya, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam yang curiga dengan aktiviti menanam serbuk berwarna kelabu di bahagian belakang kilang berkenaan sejak bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan longgokan jumbo bag mengandungi debu berwarna kelabu disyaki buangan terjadual yang disyaki akan ditanam secara haram.

Dr Mohd Famey bersama pegawai JAS meninjau tapak pelupusan sisa buangan terjadual di kilang petang tadi.

“Tinjauan turut mendapati lopakan air berwarna hitam disyaki berpunca daripada pepejal berwarna kelabu yang ditanam di tapak berkenaan,” katanya selepas melakukan tinjauan di tapak pelupusan sisa buangan terjadual di kilang berkenaan petang tadi.

Dr Mohd Famey berkata, aktiviti itu dikhuatiri boleh membahayakan penduduk sekitar memandangkan lokasinya dengan Sungai Tebrau hanya kira-kira 1.6 kilometer sahaja.

Justeru sampel buangan yang ditanam dan di stor premis berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

Kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.- MalaysiaGazette