Foto Instagram Engku Emran.

KUALA LUMPUR – Emran atau Engku Emran Engku Zainal Abidin meluahkan rasa syukur apabila dihubungi oleh seorang kenalan bergelar ustaz bagi berkongsi luahan hatinya itu selepas diuji masalah rumah tangga, baru-baru ini.

Dia mengakui kegagalan rumah tangga ketiga itu benar-benar menguji kesabaran membuatkan dirinya berasa sedikit tertekan apabila timbul pelbagai spekulasi daripada netizen.

“Fitnah-fitnah yang bertebaran tentang penceraian kali ketiga ini betul-betul menguji kesabaran saya.

“Allah menggerakkan hati ustaz untuk hubungi saya di saat saya memerlukan nasihat ustaz,” tulis di media sosial miliknya di sini.

Dia berkongsi paparan skrin mesej perbualannya bersama seorang agamawan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instastory.

Sementara itu, Emran menzahirkan kerisauan terhadap bapa dan anak perempuannya yang turut terpalit dengan segala fitnah dilemparkan.

Malah, usahawan itu turut bimbang sekiranya masyarakat termakan dengan spekulasi yang dibuat oleh netizen.

“Saya kasihan dengan ayah dan anak saya yang terpaksa menghadap fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada saya.

“Masyarakat di luar yang tidak bersalah akan sedikit sebanyak termakan dengan cerita-cerita sampah yang diadakan oleh netizen,” ujarnya.

Sementara itu, Emran terpanggil untuk berkongsi nasihat yang diterima kepada masyarakat kerana menyifatkan setiap individu mempunyai dugaan hidup masing-masing.

Tambah Emran, nasihat yang diberikan ini mungkin boleh dikongsi buat mereka yang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

“Saya mencari ruang keselesaan dan kebijaksanaan daripada mereka (ustaz)… jadi saya rasa tidak salah sekiranya berkongsi nasihat yang diberikan kepada orang ramai.

“Tidak kiralah masalah pekerjaan, kewangan, keluarga atau peribadi… saya rasa semua orang boleh relate dengan nasihat yang diberikan oleh ustaz ini,” katanya.

Sebelum ini, Emran memohon orang ramai menghentikan spekulasi berkenaan rumah tangganya bersama bekas isteri iaitu Noor Nabila Mohd Noor yang sedang hangat diperkatakan.

Kata Emran, dia pernah memberitahu Nabila bahawa ketiga-tiga perkahwinan mereka sebelum ini bukanlah satu kegagalan, namun masih perlu mencari kebahagiaan masing-masing.

Pada Isnin lalu, Emran melafazkan talak satu terhadap Nabila di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pasangan ini akhirnya bercerai selepas Nabila mendedahkan mereka bakal bercerai selepas tidak lagi tinggal sebumbung sejak Januari lalu.

Untuk rekod, Nabila dan Emran bernikah pada 19 Mac 2021 dan ia merupakan perkahwinan ketiga buat Nabila selepas berpisah dengan Sharnaaz pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan dengan Sharnaaz, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.

Sementara itu, Emran pula pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi, Erra Fazira pada 25 Oktober 2007 namun bercerai selepas tujuh tahun melayari alam rumah tangga dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, 14.

Emran kemudiannya berkahwin dengan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 8 September 2017 dan bercerai pada 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast