KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada Ogos 2023, meningkat secara marginal 0.5 peratus daripada 141.6 mata pada bulan sebelumnya kepada 142.3 mata.
Begitu juga, harga import turut naik 1.0 peratus daripada 127.6 mata kepada 128.8 mata manakala terma perdagangan Malaysia jatuh 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 110.5 mata pada Ogos 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport meningkat secara marginal 0.5 peratus pada Ogos 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.0%) dan makanan (+0.3%).
Walau bagaimanapun, indeks volum eksport menurun 1.9 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan penurunan indeks bahan mentah tidak boleh dimakan (-11.0%), dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-10.7%). Indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat 3.5 peratus daripada 155.8 mata kepada 161.3 mata.
Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing menurun 4.0 peratus dan 15.2 peratus.
Indeks nilai seunit import turut meningkat 1.0 peratus pada Ogos 2023, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+9.6%), minyak galian (+7.0%) dan makanan (+0.3%).
Manakala, indeks volum import merosot 2.6 peratus pada Ogos 2023 berbanding bulan sebelum, dipacu oleh kemorosotan indeks minyak galian (-17.1%), bahan kimia (-3.0%) dan barang-barang keluaran kilang (-2.7%).
Indeks volum import pelarasan bermusim susut 2.2 peratus daripada 174.2 mata kepada 170.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan indeks nilai seunit import dan indeks volum masing-masing berkurang 2.7 peratus dan 18.9 peratus.
Di samping itu, terma perdagangan Malaysia jatuh 0.5 peratus bulan ke bulan kepada 110.5 mata pada Ogos 2023, didorong oleh kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-9.2%), minyak galian (-1.9%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.9%).
Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun turut susut 1.3 peratus daripada 111.9 mata pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette