KUALA LUMPUR – Pengacara All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom mengumumkan penarikan diri sebagai pengacara program itu.
Bagaimanapunn, pengumuman itu sekadar kejutan kerana Elly akan tetap mengacarakan program tersebut bersama Nabil Ahmad dan Jihan Muse, tetapi, bukan lagi sebagai karakter Kak Lina Pom Pom, sebaliknya sebagai Elly Mazlein.
“Selepas Kak Lina membaca kesemuanya, ya Kak Lina baca semua komen-komen anda. Sudah masanya Kak Lina tidak perlu ada di All Stars Gegar Vaganza demi menjaga hati anda dan semua pihak.”.
“Kak Lina meletakkan kesemua kesalahan kepada diri sendiri. Niat Kak Lina untuk menghiburkan, tapi lain pula jadinya. Buat semua orang tak berminat nak tengok ASGV pulak. Sekali lagi, Kak Lina meletakkan kesalahan kepada diri sendiri.
“Jaga diri ya semua. Terima kasih di atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa sebelum ini. Terima kasih banyak-banyak.
“Insya-Allah Elly Mazlein akan menggantikan Kak Lina di ASGV nanti. Jadi, saya berhenti di sini. Jaga diri semua,” tulisnya.
Selesai konsert minggu pertama ASGV pada Ahad lalu, nama Elly sebagai salah seorang pengacara ASGV kerap dibicarakan di media sosial.
Ada penonton yang dapat menerima keberadaannya di pentas itu bersama Nabil dan Jihan, dan tidak kurang juga yang memberikan kritikan. – MalaysiaGazette