KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan kadar inflasi dapat dikawal disamping mengawal kenaikan harga barang serta memberi pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat yang terkesan.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, langkah berkenaan dapat meringankan beban kerana rakyat menerima manfaat secara menyeluruh.
Malah, ia juga boleh membantu menangani beban kos sara hidup rakyat yang begitu dirasai ketika ini.
“Kejatuhan nilai ringgit ketika ini pula mengeruhkan lagi keadaan dengan peningkatan kos kehidupan rakyat.
“Hingga hari ini, masih tiada penyelesaian tuntas untuk mengukuhkan nilai ringgit.
“Semakin lemah nilai ringgit, semakin tinggilah harga barangan yang diimport. Akhirnya, rakyat juga yang menerima tempias tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu Shahir berkata, terdapat satu kajian berkenaan krisis kos sara hidup yang didorong inflasi di United Kingdom (UK) dijangka meningkatkan risiko kematian selain, meluaskan jurang kekayaan dan kesihatan.
Ujarnya, kajian itu dikeluarkan jurnal BMJ Public Health yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
Menurut kajian itu, tekanan kos sara hidup tinggi boleh menyebabkan kematian meningkat hampir 6.5 peratus, katanya.
“Keadaan yang berlaku di UK turut berlaku di negara kita, Malaysia. Krisis bekalan beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia, masih belum selesai.
“Bayangkan terdapat golongan miskin tegar yang dulunya makan nasi dengan garam. Kini, dek kerana tiada beras tempatan yang murah, nasi pun tidak dapat dimasak. Yang tinggal hanya garam. Ini adalah situasi getir yang cukup membimbangkan,” katanya.
Dalam pada itu Shahir berkata, kos sara hidup yang tinggi turut membebankan golongan M40 dan B40 di kawasan bandar.
Jelasnya, kos kehidupan, sama ada kos untuk menyara kelangsungan hidup semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, mahupun kos gaya hidup, akibat corak perbelanjaan dan tahap kehidupan berubah, menjadikan rakyat derita ketika ini.
“Malangnya keadaan ini diburukkan lagi dengan pendapatan tidak meningkat, upah dan gaji merosot, sistem perlindungan sosial tidak mencukupi, hutang isi rumah masih tinggi, kadar kemiskinan masih serius serta peningkatan harga perkhidmatan asas dalam kehidupan seperti pendidikan, perubatan serta perumahan,” katanya. – MalaysiaGazette