Kerja-kerja pembaikan struktur jejambat sedang dijalankan.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling akan disambung semula pada 29 Februari 2024 selepas kerja-kerja pembaikan menyeluruh (Fasa 2) struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya siap.

Rapid Rail berkata, perancangan asal bagi menyiapkan kerja-kerja pembaikan serta pengoperasian normal laluan tersebut adalah pada pertengahan bulan Oktober 2023.

Namun, penambahan masa tersebut amat perlu kerana kerana kerosakan asal pada jejambat 163, selain beberapa kerosakan lain telah dikesan pada struktur jejambat-jejambat yang berhampiran, iaitu jejambat 164 dan 165 memerlukan pembaikan yang menyeluruh.

Menurutnya, setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada jurutera perunding, kerja-kerja tambahan perlu dilakukan pada struktur jejambat-jejambat tersebut bagi memastikan ianya selamat, mengikut spesifikasi dan dapat memenuhi kriteria pengoperasian normal.

“Kerja-kerja pembaikan ini juga perlu melibatkan nasihat, penilaian serta kelulusan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan kerana pemasangan struktur sokongan harus dipasang di dalam Sungai Klang yang terletak bersebelahan jejambat LRT yang terlibat.

“Pertimbangan keselamatan adalah keutamaan semua pihak yang terlibat dalam menjalankan kerja-kerja yang berisiko tinggi ini. Kerja-kerja tambahan ini telah menyebabkan jangkamasa untuk kerja-kerja pemulihan dilanjutkan selama 3 bulan,” katanya sambil memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh pengguna.

Tambah syarikat itu, keputusan yang diambil bagi melanjutkan masa kerja-kerja pemulihan adalah untuk memastikan semua kerosakan dapat dikenalpasti dan dibaiki demi menjamin keselamatan operasi dan pengguna pengangkutan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast