Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Steven Sim Chee Keong berucap pada Majlis Tayangan Khas & Pengumuman Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara Malaysia di Pavillion Bukit Bintang, KL. Foto QURRATU AINI, 27 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Memperkukuhkan kerangka Ekonomi Madani dengan menaikkan lantai dan siling merupakan antara strategi kerajaan bagi memperkasa pengusaha kecil dan sederhana (SME) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Malah, ia merupakan salah satu daripada tumpuan pada Belanjawan 2024 kali ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.

Menurutnya, SME merupakan antara pemacu ekonomi yang penting dan berharap ia dapat bersaing di peringkat lebih besar.

“Jadi, kita kena letak SME nombor satu. Tetapi, kita juga nak membantu SME kita move up a value change (naikkan perubahan nilai) supaya SME kita bukan sahaja boleh bersaing di Malaysia, malah, diperingkat lebih besar di rantau, global dan sebagainya menerusi ekonomi baharu, digital, AI (kecerdasan buatan), ekonomi hijau dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Tayangan Dokumentari dan Pengumuman Rangkaian Arkeopelancongan Wilayah Utara Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai perkara-perkara yang mungkin menjadi tumpuan pada pembentangan Belanjawan 2024 yang dijangka diumum pada Oktober depan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai persiapan pembentangan Belanjawan 2024, Steven berkata, Kementerian Kewangan telah menutup sesi maklum balas dari portal yang disediakan termasuk libat urus yang diadakan dengan pihak-pihak tertentu.

Katanya, sesi libat urus secara bersemuka pada tahun ini mendapat sambutan paling ramai apabila lebih 8,000 orang menyertainya.

Malah jelas beliau, lebih 11,000 maklum balas turut diperoleh dari portal Kementerian Kewangan.

“Kita nak supaya Belanjawan 2024 ini boleh mencerminkan aspirasi semua lapisan masyarakat Malaysia tak kira kaum, tak kira agama, gender juga negeri.

“Kita jelajah semua negeri untuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak…jadi, sekarang hingga tempoh pembentangan bajet apa yang kita katakan perincian bajet pengisian berdasarkan maklum balas yang kita terima itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast