KUALA LUMPUR – Penyanyi era 1990-an, Ruhil Amani akhirnya mengakui sudah bercerai dengan suami, Jamil Wilson sejak Mei 2019.
Penyanyi yang popular dengan lagu Kawan itu memberitahu, dia mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai keretakan rumah tangganya selama ini bagi menjaga kesihatan mental dua anak mereka yang ketika itu bakal menjalani peperiksaan.
“Assalamualaikum buat kawan semua. Di sini saya ingin memaklumkan dan mengesahkan yang saya dan juga bekas suami saya sudah bercerai pada tanggal Mei 2019.
“Sebelum ini saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan pada semua pihak terutama orang luar atas keutamaan saya sebagai seorang ibu.
“Tanggungjawab saya adalah untuk melindungi anak kami, Ariana yang pada masa itu baru berumur 15 tahun serta akan menduduki peperiksaan penting, manakala adiknya, Raayan berusia lapan tahun waktu itu.
“Saya cuma mahu memastikan mereka berdua dapat menyesuaikan diri dengan situasi kehidupan yang baharu kerana perceraian buat sesiapa saja pun tidak akan pernah adil buat anak-anak.
“Disebabkan ramai bertanyakan status saya dan Jamil, selepas berbincang dengan anak-anak saya kena maklumkan antara kami bukan lagi suami isteri sejak empat tahun lalu.
“Situasi ini melibatkan kehidupan anak-anak, jadi tujuan saya memberi kenyataan pada hari ini kerana mahu mengelakkan sebarang tanda tanya dan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah,” tulisnya di Facebook miliknya di sini hari ini.
Menurut Ruhil, 48, sebagai anak seni dia akur untuk berkongsi perkara membabitkan hal peribadi kepada umum namun menegaskan tidak boleh berkongsi lanjut punca penceraian.
“Punca penceraian tidak perlu saya nyatakan di sini. Kalau boleh cukuplah sekadar keluarga, teman rapat dan mereka yang tahu.
“Lagipun perkara ini sudah lama berlalu dan sudah takdir setakat itu saja jodoh kami. Saya dan anak-anak reda dengan percaturan Allah.
“Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan semua, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia dengan fasa ini.
“Saya juga sangat bersyukur kerana dianugerahkan Allah anak-anak yang baik, kuat dan matang dari usia mereka,” luahnya.
Pada masa sama, pemilik nama penuh Ruhil Amani Hussain itu mengucap terima kasih kepada semua pihak yang memahami situasinya apabila terpaksa merahsiakan status terkini sebelum ini.
“Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan pada teman media yang saya hormati kerana memberi ruang buat saya dan anak-anak, memahami perasaan dan tujuan saya melindungi Ariana dan Raayan.
“Malah teman media juga tidak menulis atau memaklumkan di ruang media masing-masing, walaupun sudah bertahun-tahun sebenarnya mereka maklum tentang penceraian ini,” katanya lagi.
Ruhil mendirikan rumah tangga dengan Jamil yang juga pemuzik asal Australia pada tahun 2003 dan dikurniakan Ruhil Ariana Wilson, 19 dan Raayan Alexander Wilson, 12 tahun. – MalaysiaGazette