Ustaz Azhar Idrus.

KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus disahkan telah mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Maidam itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 bagi menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab.

Pada Mac lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesahkan Azhar adalah antara individu yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan berkuliah di masjid dan surau di negeri ini.

Semakan mendapati beliau tidak termasuk dalam senarai 1,313 individu termasuk 30 penceramah selebriti yang menerima tauliah untuk berceramah agama, mengajar agama Islam dan mengajar al-Quran di Terengganu.

Bagaimanapun pada Mei lalu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M. Rozi Bidin mengesahkan Azhar dan beberapa individu lain telah hadir secara sukarela untuk memohon tauliah mengadakan ceramah dan kuliah agama.

Azhar menghadiri majlis temu duga secara sukarela di hadapan panel diketuai Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun.

Sebelum ini, Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, dilaporkan berkata, semua ahli politik termasuk ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara dilarang menggunakan masjid serta surau di Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.

Katanya, larangan itu bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, juga pernah menzahirkan rasa dukacita dengan pembabitan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat tanpa kebenaran Maidam. – MalaysiaGazette